Tuesday, April 28, 2009

Mengumpat dan gosip mana lebih besar bahaya?


AHMAD BAEI JAAFAR

Mengumpat seperti yang diperjelaskan sebelum ini adalah dosa besar dan dibenci Allah. Namun sebahagian masyarakat kita masih menjadikannya satu tabiat yang menyeronokkan. Hukum haram hanya dipandang kecil. Mengapa keadaan ini boleh berlaku?

Jelas di sini, mereka yang terlibat dengan mengumpat ini tidak takut kepada Allah dan tidak takut kepada ancaman Allah. Hal ini kerana iman mereka kepada Allah terlalu tipis atau tiada iman, lalu sanggup melakukan apa sahaja.

Sebenarnya orang yang mengumpat ialah orang yang melanggar amanah dan menyalahgunakan kurniaan Allah iaitu lidah. Anggota lidah diberikan kepada manusia untuk membolehkan manusia merasai makanan, bercakap memberi nasihat dan melarang amalan yang keji. Tetapi sebaliknya manusia menggunakan lidah untuk mengumpat manusia lain.

Jika manusia sedar bahawa dengan mengumpat itu mereka telah melakukan dua dosa iaitu menjatuhkan maruah orang dan menyalahgunakan amanah Allah pasti mereka berfikir dua kali untuk mengumpat. Tetapi semua itu tidak pernah difikirkan oleh mereka.

Selain mengumpat, gosip adalah satu lagi bentuk dosa di alaf ini. Malah gelanggang gosip lebih luas kerana diterajui oleh media sama ada elektonik mahu media cetak. Sesuatu yang menjadi rahsia seseorang habis dibongkar kepada umum.

Ramai yang berminat untuk mengetahui gosip itu kerana dapat mengetahu rahsia orang. Sama ada cerita yang dibawa itu betul atau tidak, mereka tetap akan terimanya sebagai bahan berita malah ada yang sanggup memanjangkannya.

Sebenarnya dengan gosip ini tiada rahsia yang boleh disimpan lagi, semuanya akan terdedah secara pantas. Walaupun pihak yang teraniaya boleh membuat penafian tetapi penerima orang ramai masih tidak pasti. Begitulah bahayanya gosip.

Lazimnya artis digosipkan dengan cerita percintaan, pertunangan, perkahwinan, bercerai, dan pelbagai lagi yang semuanya diperoleh dari sumber yang tidak sahih. Kadang-kadang gosip ini dilakukan secara serkap jarang. Tetapi kesannya adalah sama, boleh menjatuhkan maruah artis berkenaan.

Tidak dinafikan ada juga gosip yang sengaja dicipta oleh ampunya diri sendiri bagi tujuan mempromosi dirinya. Gosip seperti ini tidak mungkin boleh menjatuhkan maruahnya kerana dia sendiri sudah bersedia dengan jawapannya bagi menaikkan imejnya semula.

Tetapi gosip yang dicipta oleh wartawan dan kemudiannya diperpanjangkan oleh orang ramai itu boleh mencemarkan maruah artis terbabit. Hal ini kerana berita yang dibawa itu berkemungkinan termasuk dalam mengumpat atau menyebar fitnah.

Orang politik juga tidak terlepas daripada digosip oleh wartawan. Kadang-kadang digosipkan dengan wujudnya perempuan simpanan, melakukan hubungan terlarang dengan setiausahanya atau bercerai.

Berdasarkan keterangan di atas, gosip dan mengumpat dibina atas tujuan atau niat untuk menjatuhkan maruah seseorang. Walaupun ada pihak yang mendakwa bahawa gosip adalah untuk menyedarkan artis atau ahli politik yang sombong, tetapi kesannya tetap memalukan.

Jadi, apa bezanya gosip dengan mengumpat dalam hal ini? Sepintas lalu kedua-duanya tiada beza, tetapi kadang-kadang gosip boleh jadi fitnah jika semua itu tidak betul. Berdasarkan kedudukan itu, maka gosip lebih bahaya daripada mengumpat.

Walau bagaimanapun mengumpat dalam keadaan tertentu boleh dimaafkan malah pada enam tempat berikut adalah diharuskan dalam Islam. Demikian seperti yang disebut dalam kitab Hidayatus Salikin karangan Syeikh Abul Samad Palimbangi, iaitu:

1. Menyebutkan kejahatan orang zalim kepada kadi supaya dihukumkannya dengan yang setimpal.

2. Menyatakan seseorang itu membuat kejahatan yang jelas buktinya berdasarkan perbuatan mungkarnya supaya dengan cara itu dia boleh meninggalkan perbuatan maksiatnya.

3. Oleh sebab hendak meminta fatwa daripada mufti dia mengadu tentang seseorang yang menzaliminya apakah hukumnya dan apakah jalan penyelesaian.

4. Bertindak untuk menakutkan orang yang berkemungkinan hendak bersahabat dengan orang fasik atau zalim.

5. Untuk memberi tahu tentang orang yang tidak dikenal namanya lalu dia menyebut sifatnya.

6. Menyebut kejahatan orang yang sudah masyhur dengan kejahatannya supaya orang lain tidak menjadi mangsanya.

Supaya lebih jelas perhatikan beberapa contoh berikut:

Seorang pemuda telah mengambil barang milik bapanya. Lelaki lain yang melihatnya segera ke pejabat polis dan tanpa berselindung menyebut perbuatan jahat pemuda itu. Menyebut kejahatan orang lain adalah mengumpat tetapi dalam hal ini, dibenarkan supaya dengan itu pemuda itu boleh ditangkap.

Begitu juga dengan seorang pemimpin yang sering melakukan tabiat buruk seperti merokok. Hendak tegur sikapnya, tiada siapa yang sanggup berhadapan dengannya. Maka tabiat buruknya disebut di hadapan umum dengan harapan apabila dia dengar boleh timbul kesedaran dan berubah.

Dalam contoh yang lain, seorang wanita pernah ditipu oleh seorang lelaki dan berjaya memperdaya perasaannya malah hampir dirogol. Pada suatu hari dia ternampak lelaki itu sedang berbual dengan seorang gadis lain. Demi menyelamatkan maruah gadis itu, dia menceritakan kejahatan lelaki itu dengan harapan gadis itu tidak terpedaya dan menjauhkannya. Pada dasarnya ia juga mengumpat tetapi dibenarkan.

Dalam kes yang lain, seorang lelaki atau wanita yang sudah masyhur dengan kejahatannya. Namanya sudah dikenali umum malah menjadi bualan orang ramai. Menyebut keburukannya tidak lagi dikira mengumpat.

Empat contoh ini lazim berlaku dalam masyarakat kini dan inilah yang dibenarkan dalam Islam. Maka selain senarai di atas, tetap dikategorikan sebagai mengumpat dan berdosa besar.

0 comments: